Isu komik Superman Hew: Kabinet belum bincang
Keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik karya bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau Superman Hew masih belum dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, kerajaan bagaimanapun menghormati keputusan yang dibuat mahkamah berkaitan komik berkenaan.
“Kita belum bincang lagi perkara ini dalam Jemaah Menteri, jadi saya tak boleh tambah (ulas lanjut) sebab belum dibincangkan.
“Itu adalah berdasarkan keputusan mahkamah. Kita hormat keputusan mahkamah tapi waktu ini belum lagi dibincangkan dalam Jemaah Menteri,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024.
Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh mendesak kerajaan mempertimbangkan langkah memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ itu.
Menurutnya, semakan semula keputusan terbabit adalah selaras kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Reaksi Akmal itu susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik tersebut yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.
Mengikut warta itu, pembatalan Perintah Larangan tersebut membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.
Pada 26 Julai 2022, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa komik itu tidak menjejaskan ketenteraman awam.
Permohonan kerajaan ketika itu untuk kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan bagi mengembalikan larangan terhadap penerbitan komik tersebut juga gagal pada 8 Disember 2022.
BACA JUGA Gempar dakwaan kes samun di Kota Bharu, siap pisau dah di tangan