‘Lebai kami boleh…’, tiada pula sumpah seranah bila Kedah kerjasama dengan Boeing SE Asia

Wujud keadaan ‘lebai kami boleh buat, orang lain tak boleh’ apabila kerajaan negeri Pas Kedah bersetuju membentuk kerjasama strategik dengan Boeing SE Asia.

Padahal, Boeing di Amerika Syarikat (AS) pernah dilapor bertanggungjawab membekalkan hampir 1,000 bom termasuk Bom Diameter Kecil (SDM) dan kit Joint Direct Attack Munition (JDAM) kepada Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Sokongan itu menyaksikan kumpulan aktivis di AS pada November tahun lalu menghalang setiap pintu masuk ke Bangunan 598 di kemudahan Boeing di Missouri kerana ia dijadikan kilang menghasilkan bom dan peluru untuk genosid di Gaza.

Bloomberg pada 10 Oktober tahun lalu pula melaporkan Boeing mempercepatkan penghantaran 1,000 peluru berpandu tepat ke Israel ketika negara haram itu meningkatkan julat serangan ke atas Gaza.

Namun, kerajaan negeri Kedah boleh pula membentuk kerjasama strategik dengan Boeing SE Asia dengan menerima kunjungan delegasi Boeing SE Asia ke Wisma Darul Aman, pada 12 Ogos lalu.

Kerajaan negeri Kedah dilapor menawarkan Boeng SE Asia menjadikan Kedah Science Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam sebagai hab pembangunan strategik perniagaannya di rantau Asia Tenggara.

Hal itu disebut Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah, menurut laporan Harakahdaily.

Rata-rata warga maya mempersoal bagaimana tiada pula sumpah seranah daripada penyokong Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku ketika isu penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock.

“Kalau Blackrock tu labur projek di Kulim International Airport macam mana? Halal ke haram?” peril pengguna X, @firad96.

“@wanfayhsal, kenapa tiada komen, sumpah seranah dari kamu?” tempelak @hw2999 kepada Ahli Parlimen Machang dari PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

BACA JUGA ‘Plot twist’! Pemain bola sepak bawa kerambit disyaki suspek kes baling bom petrol