‘Plot twist’! Pemain bola sepak bawa kerambit disyaki suspek kes baling bom petrol

Ketua Polis Kuala Lumpur hari ini mendedahkan pemain bola sepak amatur yang ditahan kerana membawa kerambit ketika perlawanan bola sepak baru-baru ini merupakan suspek kes membaling bom petrol.

Datuk Rusdi Mohd Isa berkata berdasarkan rakaman CCTV dan percakapan saksi, lelaki berusia 22 tahun itu adalah orang dikehendaki berhubung kes ‘molotov cocktail’ yang dibaling di hadapan sebuah pusat hiburan Mei lalu.

“Suspek ini ada ‘wanted’ satu kes iaitu kes baling ‘molotov cocktail’ di depan pusat hiburan, inilah orangnya.

“Kita mengenal pasti suspek berdasarkan siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengecaman,” katanya dalam sidang media hari ini.

Rusdi berkata, lelaki itu akan didakwa bagi kes bawa kerambit dan baling bom petrol di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat.

“Pertuduhan adalah dibawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 Seksyen 336 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya

Sebelum ini Harapan Daily melaporkan pemain bola sepak yang bernama Iman didakwa membawa objek tajam dipercayai kerambit ketika perselisihan perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre, awal Ogos lalu.

BACA JUGA RM2,400 setahun untuk pekebun yang daftar Budi Agri Komoditi