Tiada kecederaan fizikal, ini rupanya klasifikasi kes Nidza Afham
Bedah siasat terhadap mayat Muhammad Nidza Afham, 23, didapati tiada kecederaan fizikal, menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Katanya, bedah siasat terhadap mayat mangsa dijalankan pada 11 pagi dan selesai pada 3 petang tadi.
Sehubungan itu, polis mengklasifikasikan kes penyanyi berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).
“Punca kematian ‘pending laboratory investigation’ dan lain-lain kecederaan fizikal tiada.
“Siasatan diteruskan sebagai SDR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan satu mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang adalah Nidza Afham Mokhtar.
Mayat Nidza Afham ditemui pemancing kira-kira pukul 7 malam iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi dilaporkan hilang di Jambatan Kota, Klang.
Nidza Afham yang pernah tular apabila lagu saduran dendangannya, Rindu Setengah Mati mendapat lebih 6 juta tontonan di YouTube dilaporkan hilang kelmarin.
Beliau hanya membalas mesej keluarga kali terakhir pada pukul 9.04 malam sebelum hilang selepas keluar berjoging di Stadium Sulaiman di Klang.
Telefon bimbit serta dompet tanpa kad debit dan wang tunai milik Nidza Afham yang pernah melancarkan single berjudul ‘Ternyata Bukan Aku’ itu ditemukan di Jambatan Sungai Klang.
BACA JUGA Gempar dakwaan kes samun di Kota Bharu, siap pisau dah di tangan