Akibat ‘terpaling’ samseng bola sepak, pemuda tunjuk kerambit dipenjara 14 hari
Selepas tular seorang pemain bola sepak amatur mengacukan kerambit dalam perselisihan faham ketika perlawanan di KLFA Football Centre, pemuda berkenaan dijatuhi hukuman penjara 14 hari bermula hari ini.
Muhammad Nur Iman Shafie Mohd Sulin, 22, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menunjukkan senjata berbahaya sebilah kerambit.
Pemain bola sepak amatur itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 4 Ogos lalu jam 12.45 pagi di KLFA Football Center, Desa Melawati Wangsa Maju.
Dia didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali.
Ketika rayuan, Peguam Muhammad Syawal Mohd Razak yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda paling ringan.
Alasannya, tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain membantu ibu bapanya berniaga nasi lemak.
“Anak guam saya juga bertanggungjawab untuk menghantar ibunya ke Hospital Selayang setiap minggu untuk rawatan berkaitan penyakit batu hempedu,” katanya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ridzuan Abd Latif meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat serta bakal pesalah.
“Kes ini mendapat liputan meluas. Oleh itu, hukuman sewajarnya perlu diberikan untuk beri mesej jelas kepada masyarakat bahawa kesalahan seumpama ini diberikan hukuman setimpal oleh mahkamah,” ujarnya.
Sebelum itu, Muhammad Nur Iman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah sebuah kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian depan kelab berkenaan.
Menurut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 Mei lalu bersama-sama empat lagi yang telah dituduh.
Pemuda berkenaan didakwa di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.
Ridzuan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 untuk pertuduhan itu.
Peguam Haziq Haizuddin yang mewakili Muhammad Nur Iman dalam kes ini memohon jaminan dikurangkan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.
Norina turut menetapkan 25 September depan untuk sebutan semula kes.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan Nur Iman adalah suspek terbabit kejadian membaling bom petrol atau molotov cocktail di pusat hiburan di ibu negara, Mei lalu.
Pengesahan itu menurut Rusdi adalah berdasarkan keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan soal siasat ke atas suspek.
BACA JUGA Tak lagi berselerak, ini keadaan semua pejabat kerajaan di luar negara mulai 1 Januari 2025