Tak lagi berselerak, ini keadaan semua pejabat kerajaan di luar negara mulai 1 Januari 2025

Jika selama ini pejabat-pejabat kerajaan di luar negara berselerak, keadaan itu tidak lagi wujud mulai 1 Januari 2025 nanti.

Perdana Menteri berkata, semua perkhidmatan agensi kerajaan terbabit akan diletakkan di bawah satu bumbung sekali gus mampu menjimatkan wang kerajaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk pejabat di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“MOTAC, MATRADE, MITI dan selain Kedutaan semuanya mempunyai pejabat masing-masing.

“Jadi, bermula 1 Januari 2025, semua pejabat di luar negara akan disatukan bawah satu bumbung bagi menjimatkan belanja dan mengoptimumkan operasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya, hari ini.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menyeru menteri dan pegawai kerajaan memberi Kerjasama demi kerja yang optimum melalui proses lebih teratur.

“Dunia masih kecil, ekonomi dan teknologi kian canggih tetapi cara kita berfikir dan bertindak masih usang, sebab itu saudara semua kena kerjasama.

“Menteri dan kementerian kena terima kenyataan bahawa kerja ini boleh dijalankan kerja secara optimum melalui proses lebih teratur,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Skim gaji baharu beri semangat baru kepada penjawat awam