Bukti reformasi dasar kerajaan berhasil, prestasi ekonomi Malaysia membanggakan

Perdana Menteri berkata, prestasi ekonomi negara yang positif pada suku kedua 2024 membuktikan reformasi dasar serta pengurusan ekonomi Kerajaan MADANI membuahkan hasil.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi yang memberangsangkan itu akan terus mendorong kerajaan untuk memacu pelaksanaan agenda reformasi Ekonomi MADANI.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan yakin momentum pertumbuhan negara akan diperkukuh dalam tempoh mendatang.

“Prestasi ekonomi Malaysia yang membanggakan ini sekali lagi mengatasi keadaan global yang tidak menentu dan telah melemahkan permintaan serta pertumbuhan di kebanyakan negara.

“Angka dan indikator yang positif adalah bukti bahawa reformasi dasar serta pengurusan ekonomi Kerajaan MADANI telah membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia menyaksikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus pada suku tahun kedua tahun ini.

Angka itu mengatasi unjuran awal 5.8 peratus yang diumumkan bulan lalu dan pertumbuhan yang tertinggi sejak suku keempat 2022.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berupaya mengecapi kitaran pertumbuhan ekonomi baharu dan menjayakan reformasi fiskal yang diperlukan dengan meneruskan pelaksanaan reformasi dasar seperti diilhamkan dalam kerangka jangka masa sederhana Ekonomi MADANI.

Menurutnya, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diluncur pada Mei lalu adalah satu lagi tambahan kepada dokumen dasar untuk memodenkan ekonomi negara dengan membangunkan industri bernilai tinggi dan mampan.

Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober nanti, jelasnya, adalah kesinambungan kepada pelaksanaan dasar yang bermula secara besar-besaran pada tahun ini.

Beliau menjelaskan pertumbuhan kukuh yang melangkaui jangkaan pada separuh pertama 2024 telah meletakkan kerajaan pada kedudukan yang ampuh untuk mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 4.3 peratus pada 2024.

Perkembangan itu juga memberikan ruang yang mencukupi untuk kerajaan melaksanakan langkah yang mampu menyokong pertumbuhan selanjutnya pada tahun ini, jika diperlukan.

Walau bagaimanapun, kerajaan kekal nekad untuk mematuhi sasaran jangka masa sederhana untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.0 peratus atau lebih baik.

BACA JUGA 41 pesakit warga Palestin selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM