PM iktiraf pengorbanan penjawat awam luar biasa, SSPA ganti SSM mulai 1 Disember

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tahap pengorbanan penjawat awam sejak dahulu sehingga ini adalah sebagai luar biasa.

Sehubungan itu, kerajaan bersetuju menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember ini.

Keputusan tersebut, jelasnya, sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam.

“Bukan sahaja dalam menghadapi ancaman komunis dahulu, menangani Covid-19, jangan lupa petugas barisan hadapan itu adalah penjawat awam, jadi kerajaan setuju supaya SSM digantikan dengan SSPA,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan SSPA adalah satu keputusan adil kepada penjawat awam, bukan untuk menarik minat dan sokongan.

SSPA,jelasnya, berdasarkan tiga inti pati reformasi termasuk untuk meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Kedua, adalah untuk meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan ketiga adalah untuk meningkatkan daya saing negara,” katanya.

Tambahnya, SSPA mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam yang dikehendaki bagi menjayakan agenda Malaysia Madani.

BACA JUGA Pelari ini benci yang soal kenapa joging waktu malam, ada hujahnya