PRK Nenggiri: Di mana calon BN, PN mengundi esok?

Tabika Sri Bakawali iaitu Unit Daerah Mengundi (UDM) Bertam Lama bakal menjadi tumpuan media pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, esok.

Ia menjadi lokasi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail membuang undi.

Mohd Azmawi Fikri , 38, yang dikenali dengan panggilan ‘Awie’ berkata, beliau dijangka akan turun mengundi jam 8 pagi esok.

“Insya-Allah, saya akan berada di lokasi mengundi jam 8 pagi esok,” katanya, dipetik BH.

Awie ketika menyantuni pengundi di DUN Nenggiri.

Awie masih mempunyai tempoh berkempen sehingga jam 11.59 malam ini.

Jentera BN yang dibantu Pakatan Harapan (PH) kali ini memilih pendekatan hanya menyantuni pengundi melalui program-program kecil.

Berbeza siri pilihan raya sebelum ini, kempen PRK Nenggiri berlangsung tanpa ceramah mega, manakala program calon disusun bermula seawal Subuh setiap hari.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar dalam PRK DUN Nenggiri yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PN.

PRK N43 Nenggiri diadakan selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Azizi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 tahun lalu bertanding menggunakan logo Pas menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff dengan majoriti hanya 810 undi.

BACA JUGA [Video] Ratusan peneroka haram Yahudi bakar rumah, bunuh penduduk di Tebing Barat