[Video] Ratusan peneroka haram Yahudi bakar rumah, bunuh penduduk di Tebing Barat
Ratusan peneroka haram Israel bersenjatakan senapang dan bom Molotov menyerang perkampungan Palestin Jit, timur Qalqilia di Tebing Barat.
Pengganas terbabit membakar sejumlah rumah dan harta benda Palestin manakala tentera pendudukan Israel berdekatan tidak campur tangan, menurut Quds News Network.
“Kecederaan dilaporkan di kalangan rakyat Palestin yang cuba melindungi rumah mereka, dan seorang warga Palestin telah terbunuh setakat ini,” lapor Quds News Network di platform X, jam 2.42 pagi tadi.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, mangsa yang syahid adalah Mahmoud Abdel Qader Sadda, 23.
Seorang lagi cedera parah di dada akibat tembakan peneroka haram di perkampungan yang terletak di barat Nablus itu.
Sebahagian daripada pelampau Yahudi terbabit bertopeng, memasuki Jit dan membakar kenderaan dan struktur di kawasan berkenaan dengan membaling batu serta bom Molotov.
Sejak perang meletus pada Oktober tahun lalu antara Israel dan Hamas di Gaza, keganasan memuncak di Tebing Barat, wilayah yang diduduki Israel sejak 1967.
Dalam setiap kali serangan keganasan dilakukan, ratusan peneroka haram Yahudi bersenjata, disokong oleh pasukan tentera, menembak penduduk, merosakkan kampung dan membakar rumah serta kereta.
Setakat 6 Ogos lalu, AFP melaporkan sekurang-kurangnya 612 rakyat Palestin dibunuh tentera atau peneroka Israel di Tebing Barat sejak 7 Oktober.
Dalam masa sama, sekurang-kurangnya 17 warga Israel, termasuk tentera terbunuh oleh serangan Palestin di Tebing Barat dalam tempoh yang sama, menurut angka rasmi Israel.
BACA JUGA Wabak cacar monyet sah sudah merebak di luar Afrika, Eropah catat kes pertama