Skim gaji baharu beri semangat baru kepada penjawat awam

Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember ini dilihat memberi semangat kepada seluruh penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, julat peningkatan pendapatan akan diterima penjawat awam adalah 16.8 peratus hingga 42.7 peratus mengambil kira faedah berganda.

“Sebagai contoh Pembantu Hidupan Liar Gred 11 pendapatan bulanan pada November 2024 sebanyak RM1,795 dan akan meningkat kepada RM2,115 pada Disember 2024 semasa fasa 1 dan pada fasa 2 akan meningkat kepada RM2,327 pada Januari 2026.

“Selain itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred 41 pendapatan bulanan pada November 2024 sebanyak RM3,838 dan akan meningkat kepada RM4,085 pada Disember 2024 semasa fasa 1 dan pada fasa 2 akan meningkat kepada RM4,559.24 pada Januari 2026,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan berita menggembirakan penjawat awam itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024 di Putrajaya, hari ini.

SSPA menyaksikan pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional menikmati pelarasan gaji secara secara berfasa sebanyak 15 peratus.

Bagi kumpulan pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula, pelarasan gaji akan diberikan sebanyak tujuh peratus.

Anwar berkata, pelaksanaan pemberian gaji akan diberikan secara berfasa iaitu fasa 1 pada 1 Disember 2024 manakala fasa 2 pula pada 1 Januari 2026.

“Pegawai Kumpulan Pelaksana dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional pelarasan gaji bagi fasa 1 adalah 8 peratus dan fasa 2 pula 7 peratus dengan keseluruhan 15 peratus.

“Manakala bagi Kumpulan Pegawai Pengurusan Tertinggi fasa 1 sebanyak 4 peratus dan fasa 2 pula sebanyak 3 peratus.

“Pelaksanaan secara berfasa ini bagi memastikan tiada inflasi kerana jika inflasi naik pendapat boleh guna akan jauh kurang,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri memaklumkan pencen akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan gaji akhir pesara.

“Ramai rakan-rakan pencen bangkitkan isu ini dan saya beri jaminan tidak terjejas dengan perubahan baharu ini,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA PM iktiraf pengorbanan penjawat awam luar biasa, SSPA ganti SSM mulai 1 Disember