Tiada pun barang peribadi Nidza Afham hilang, keluarga juga tidak buat laporan
Polis Selangor mengesahkan tiada kehilangan barang peribadi penyanyi, Muhammad Nidza Afham seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihak keluarga juga tidak membuat laporan polis berkaitan kehilangan barang-barang terbabit.
Menurutnya, siasatan lanjut polis merangkumi pelbagai sudut termasuk jenayah, peribadi serta masalah mental bagi mengetahui punca yang menjurus ke arah kematian pemuda berusia 23 tahun itu.
Dalam masa sama, beliau menasihi orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan tidak betul yang mana tidak pasti kesahihannya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mengeluarkan spekulasi atau komen secara melampau,” katanya, lapor BH Online.
Sebelum ini, kehilangan Nidza Afham yang dipanggil Am oleh ahli keluarganya dikaitkan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai.
Namun, semalam polis mengklasifikasikan kematian anak kelima daripada tujuh beradik itu sebagai mati mengejut (SDR) selepas proses bedah siasat pada 11 pagi sehingga 3 petang.
Tiada kecederaan fizikal ditemui pada jasad penyanyi lagu ‘Ternyata Bukan Aku’ itu dan punca kematian masih menunggu laporan siasatan makmal.
Allahyarham dilaporkan keluar dari rumah menggunakan perkhidmatan pengangkutan (indrive) ke Stadium Sultan Suleiman, Klang untuk berjoging, kira-kira jam 7.45 malam, 13 Ogos lalu.
Pada jam 9.04 malam hari sama, Nidza gagal dihubungi dan lokasi terakhirnya berada mengikut aplikasi ‘Find My iPhone’ adalah di Jambatan Kota berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang.
Jasad Nidza ditemui berhampiran Jalan Tepi Sungai, Taman Telok Pulai Indah oleh seorang pemancing, dua kilometer dari Jambatan Kota, jam 7 malam keesokannya.
BACA JUGA 41 pesakit warga Palestin selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM