Wabak cacar monyet sah sudah merebak di luar Afrika, Eropah catat kes pertama

Jangkitan jenis baru virus mpox atau cacar monyet disahkan di Sweden dan dilapor mempunyai kaitan dengan wabak yang semakin meningkat di Afrika.

Memetik Reuters, ia adalah tanda pertama penyebarannya di luar benua itu sehari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penyakit tersebut sebagai kecemasan kesihatan awam global.

Mangsa pertama di Sweden itu dijangkiti semasa berada di Afrika dengan virus mpox jenis Ib yang dikaitkan dengan wabak baru-baru ini.

Wabak mpox sudah merebak ke Sweden seperti didedah sidang media oleh Menteri Hal Ehwal Sosial dan Kesihatan Awam Sweden, Jakob Forssmed; Pakar epidemiologi negeri, Magnus Gisslen dan pemangku Ketua Pengarah Agensi Kesihatan Awam Sweden,Olivia Wigzell. – Foto Reuters

Menurut pakar kesihatan awam dan profesor di Georgetown Law di Washington, Lawrence Gostin, kemunculan kes di benua Eropah boleh mendorong penyebaran pesat penyakit mpox pada peringkat antarabangsa.

Dr Brian Ferguson dari Universiti Cambridge berkata, kes dalam kalangan pengembara Sweden membimbangkan tetapi tidak menghairankan, memandangkan keparahan dan penyebaran wabak di Afrika.

“Kemungkinan akan ada lebih banyak lagi kes di sini dan di bahagian lain dunia kerana pada masa ini tiada mekanisme untuk menghentikan kes import mpox berlaku,” katanya, lapor Reuters.

Kelmarin, WHO mengisytiharkan wabak mpox sebagai darurat kesihatan awam global (PHEIC), tahap amaran tertingginya. Ini kali kedua langkah itu dilakukan dalam tempoh dua tahun.

Lapor AlJazeera, kes mpox telah ditemui di 13 negara Afrika dan bentuk baharunya semakin merebak.

Ia adalah kali kedua dalam dua tahun WHO mengeluarkan amaran untuk penyakit berbahaya itu.

Sebanyak 27,000 kes dan lebih 1,100 kematian, terutama dalam kalangan kanak-kanak, di Congo sejak wabak semasa bermula pada Januari 2023.

Jurucakap Pusat Kawalan Penyakit (CDC) AS, David Daigle dalam satu kenyataan memberitahu ia adalah kes kumpulan virus I mpox pertama yang dilaporkan di luar benua Afrika.

Baru-baru ini, CDC AS mengeluarkan kemas kini Rangkaian Makluman Kesihatan dan mengemas kini Notis Kesihatan Perjalanan untuk memaklumkan doktor, pengembara dan rakan kongsi kesihatan awam AS mengenai penyebaran penyakit virus I ke negara yang tidak pernah melaporkan kes campak sebelum ini.

Kumpulan virus mpox Ib, strain virus di sebalik wabak semasa, ialah varian baharu virus I yang endemik di Congo.

Virus Ib kelihatan lebih mudah merebak melalui hubungan rapat rutin, termasuk hubungan seksual.

Virus I mpox cenderung menyebabkan bilangan jangkitan teruk yang lebih tinggi dan mempunyai kadar kematian lebih tinggi daripada kumpulan virus II mpox, menurut pegawai kesihatan AS.

Pada 2022, WHO mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam berikutan wabak mpox yang disebabkan oleh kumpulan virus II, yang mencatatkan lebih 95,000 kes di 115 negara bukan endemik.

BACA JUGA ‘Anwar patut jadi PM Palestin’, aktivis ini disaran pindah ke negara haram Israel