Biadabnya ceramah Muhyiddin di Nenggiri, MB Pahang gesa kenakan tindakan

Lain macam isi kempen Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengheret nama Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di PRK Nenggiri.

Presiden Bersatu berkenaan mendakwa dia yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri ke-10 lantaran kononnya sudah cukup mendapat sokongan daripada 115 ahli Parlimen.

Sehubungan itu, Menteri Besar Pahang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Muhyiddin yang secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R merujuk raja, agama dan kaum dalam kempen politik.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan terhadap Muhyiddin penting sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua pihak.

“Saya berharap rakyat di negara ini perlu terus menghormati institusi diraja yang menjadi lambang kedaulatan dan kestabilan negara, serta simbol penyatuan dan pelindung rakyat jelata,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Wan Rosdy berkata, beliau kecewa dan terkilan dengan ucapan Muhyiddin yang secara biadab menyentuh kewibawaan Sultan Pahang ketika baginda berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

“Sebagai mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi istana dalam kempen politiknya yang sempit semata-mata untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

“Saya yakin dan percaya, rakyat juga telah mengetahui dan bersetuju bagaimana kewibawaan baginda Tuanku berjaya menghentikan kemelut politik negara daripada terus berpanjangan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan, di mana Pas dan Bersatu menolak titah Tuanku ini,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Dikecam bawa rakyat Palestin cedera ke Malaysia untuk rawatan, ini reaksi PM Anwar