Hentikan 6 aktiviti, cadangan ini di kawasan sensitif alam sekitar di Segari
Oleh MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN
Kami daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dan komuniti setempat di bawah gabungan Rakan Segari mengulangi gesaan kepada Kerajaan Negeri Perak supaya melindungi dan memulihara Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di wilayah Segari, Daerah Manjung, Perak daripada kegiatan yang boleh mengancam eko sistem semula jadi dan kesejahteraan alam sekitar.
Gesaan ini disuarakan ekoran kebimbangan terhadap beberapa kegiatan/projek yang sedang dilakukan dan akan dilakukan yang tidak selari dengan dasar dan ketetapan termasuk rancangan pemajuan sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat Persekutuan.
Ancaman terhadap ekosistem semula jadi dan kesejahteraan alam sekitar juga akan memberi impak semasa dan tempoh jangka panjang terhadap sosio ekonomi masyarakat setempat terutama golongan nelayan dan sektor pelancongan di Pantai Teluk Senangin.
Antara kegiatan/projek yang sedang dilakukan dan akan dilakukan ialah:
i. pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang yang dikategori sebagai KSAS (mengancam kawasan pendaratan penyu, kawasan penangkapan nelayan dan menganggu kawasan rayau hidupan liar);
ii. pembalakan secara tebang habis untuk tujuan pengkuarian seluas kira-kira 122 hektar di sebahagian Kompartmen 19, 20 dan 21, Hutan Simpan Segari Melintang (HS Segari Melintang) (mengancam kawasan pesisiran pantai dan kawasan penangkapan nelayan serta memusnahkan hutan semula jadi hutan bukit pantai);
iii. akuakultur di sebahagian Kompartmen 34, HS Segari Melintang (pencemaran air Sungai Gelam);
iv. cadangan kilang besi dan keluli di Pantai Pasir Panjang (mengancam kawasan pendaratan penyu dan kawasan penangkapan nelayan);
v. cadangan loji pemprosesan minyak dan petrokimia di Tanjung Hantu (mengancam kawasan penangkapan nelayan, sektor pelancongan serta memusnahkan hutan semula jadi hutan bukit pantai); dan
vi. cadangan kompleks cerapan Baitul Hilal bersebelahan Baitul Hilal di Pantai Pasir Panjang (mengancam kawasan pendaratan penyu).
Berdasarkan dokumen Rancangan Fizikal Negara (RFN), semua kawasan pendaratan penyu di Semenanjung Malaysia dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 dan 2 (KSAS Tahap 1 dan 2) yang tidak boleh dibangunkan sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah seperti perindustrian, perlombongan dan pengkuarian kecuali kegiatan pelancongan eko yang berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan sahaja.
Perlu dijelaskan bahawa kawasan pantai dari Hutan Lipur Pasir Panjang hingga ke Pantai Pasir Pandak, Tanjung Hantu merupakan kawasan yang kerap direkodkan pendaratan penyu berdasarkan kepada penemuan sarang dan kutipan telur oleh pengutip telor penyu yang dilantik oleh Jabatan Perikanan.
Malah dimaklumkan, kawasan pantai dan beting pasir di muara Sungai Puyu merupakan kawasan sarang paling banyak ditemui.
Berdasarkan sumber, kekerapan pendaratan penyu menurun dengan mendadak berdasarkan kepada penemuan sarang dan kutipan telur semenjak kegiatan pengambilan pasir dilakukan di Pantai Pasir Panjang. Dimaklumkan hanya lima sarang direkodkan pada tahun ini di kawasan tersebut.
Manakala kegiatan pembalakan untuk tujuan pengkuarian seluas kira-kira 122 hektar di sebahagian 19, 20 dan 21 bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MMTN) kali ke-70 supaya semua Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Malah, berdasarkan maklum balas Draf Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 (Draf RTD Manjung 2030), Jawatankuasa Siasatan Tempatan bersetuju dengan bantahan pembantah dan menolak permohonan yang baru bagi mengekalkan kawasan hutan sedia ada.
Oleh itu, kami berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbang untuk menghenti dan tidak membenarkan lagi sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah yang berisiko impak di KSAS Tahap 1 dan 2 terutama kawasan pendaratan penyu serta mewartakan kawasan pendaratan penyu sebagai kawasan perlindungan.
Kami juga berharap, Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan menguna pakai rancangan pemajuan berdasarkan RFN, dasar dan ketetapan yang berkaitan.
*MEOR RAZAK BIN MEOR ABDUL RAHMAN merupakan Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bagi pihak Rakan Segari.
Gabungan Rakan Segari terdiri daripada SAM, Persatuan Aktivis Sahabat Alam, Malaysian Primatological Society, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia, Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak, Pengusaha Chalet Teluk Senangin dan Komuniti Nelayan Jeti Sungai Gelam.
BACA JUGA ‘Malaysia helwah’, ramai sebak lihat wajah gembira anak Palestin ini