‘Malaysia helwah’, ramai sebak lihat wajah gembira anak Palestin ini
Reaksi spontan seorang kanak-kanak Palestin di dalam perut pesawat pengangkut TUDM Airbus A-400M sejurus tiba di Malaysia mengundang rasa sebak orang ramai.
“Malaysia helwah!” kata kanak-kanak lelaki berbaju putih itu sambil beberapa kali menjenguk cermin tingkap pesawat menatap pemandangan tanah air.
“Sebak tengok muka gembira kanak-kanak Palestin, Alhamdulillah.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Sekurang-kurangnya, Negaraku meringankan penderitaan mereka yang tidak berkesudahan. Terima kasih PMX & Kerajaan Perpaduan!
“Dia yang helwah aku yang menangis. Selamat datang saudara,” demikian antara kata warganet.
Kanak-kanak berkenaan antara 127 orang pesakit dan waris rakyat Palestin yang selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang semalam.
Daripada 127 warga Palestin itu, 41 individu adalah pesakit membabitkan 20 lelaki dan 21 perempuan berusia lapan bulan hingga 62 tahun.
Pesakit terbabit mengalami kecederaan, termasuk melecur dan patah kaki, selain ada yang hilang anggota tubuh badan.
Mereka sebelum ini mencari perlindungan di Mesir berikutan serangan pengganas zionis Israel ke atas Palestin.
BACA JUGA Pengundi DUN Nenggiri pilih wakil rakyat baharu hari ini