Pengundi DUN Nenggiri pilih wakil rakyat baharu hari ini

Seramai 20,259 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, hari ini.

Sebanyak 20 pusat mengundi melibatkan 46 saluran akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang dengan enam daripadanya mempunyai jumlah pengundi yang sedikit akan ditutup lebih awal.

Empat pusat mengundi akan ditutup pukul 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan akan diumum seawal pukul 9 malam dengan proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail akan mengundi di tempat sama iaitu Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama.

Kerusi N.43 Nenggiri ialah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Gua Musang, dengan berkeluasan 235,300 hektar iaitu menyamai hampir dua kali ganda keluasan Melaka.

Mengikut data statistik SPR, daripada 20,259 pengundi berdaftar, 14 anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka.

Secara keseluruhan sebanyak 43 kertas undi pos telah dikeluarkan pada 5 Ogos lalu kepada pemilih yang layak.

Seramai 431 petugas SPR dan 995 anggota polis akan bertugas sepanjang proses pengundian dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan tiada hujan di Gua Musang sepanjang hari ini.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lalu, Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti hanya 810 undi.

BACA JUGA Cikgu boleh dah buat laporan polis saman ‘Pemfitnah Nasional’