Mesej tular dakwa IJN bakal diswastakan palsu, tidak berasas – Menteri

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini menafikan satu mesej tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa Institut Jantung Negara (IJN) bakal diswastakan.

Dzulkefly berkata, IJN adalah sebuah badan korporat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), justeru tuduhan bahawa IJN akan diswastakan adalah tidak berasas sama sekali.

Menerusi tangkap layar dimuat naik, mesej palsu yang tersebar itu mendakwa pesakit selepas ini tidak lagi mendapat rawatan percuma termasuk ubat-ubatan.

“Hari ini IJN memanggil pesakit yang menerima rawatan, memberi taklimat bahawa hari ini hari terakhir pesakit menerima rawatan percuma kerana selepas ini IJN akan diswastakan.

“Semua rawatan dan ubat-ubatan tidak lagi percuma termasuk untuk pesara kerajaan. Inilah jasa Madani DAP kepada rakyat,” kata mesej tular itu.

Dalam pada itu Dzulkefly menyertakan kenyataan media yang pernah dimuat naik pada 27 Februari tahun ini menjelaskan perihal isu tersebut.

Katanya, sejak sekian lama KKM telah merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN untuk mengurangkan ‘kesesakan dan masa menunggu yang lama’ di Pusat Jantung KKM (Pusat Jantung Serdang). 

Jelasnya, KKM membayar kepada IJN untuk setiap pesakit yang dirujuk ke lJN, menggunakan pembiayaan tahunan persekutuan yang diterima daripada MOF. 

Oleh itu, untuk memastikan lebih ramai pesakit boleh dirujuk ke lJN, pesakit dibenarkan discaj apabila keadaan mereka stabil ke Pusat-Pusat Jantung KKM yang lain.

Paling penting katanya, KKM akan terus memastikan penjagaan dan keselamatan pesakit tidak terjejas termasuk pesara-pesara Kerajaan.

“Semoga ada pencerahan dari penjelasan ini. Semoga tidak mudah-mudah juga tuduhan terhadap YAB PMX, KKM, IJN dan Kerajaan Madani, dibuat tanpa kita memahami isu dan rasional di sebalik dasar dan tindakan Kerajaan Madani ini,” kata kenyataan pada Februari lalu.

BACA JUGA Gaji penjawat awam naik, trend guru bersara awal dijangka dapat dikurangkan