Belum 2 tahun berkahwin, Syamsul Yusof dan Ira Kazar bercerai? Peguam Syamsul dedah punca
Nama pengarah muda, Syamsul Yusof dan Ira Kazar pernah menimbulkan kontroversi hangat selepas kisah perkahwinan secara ‘senyap-senyap’ antara mereka berdua diumumkan kepada orang ramai.
Namun, belum pun memasuki dua tahun usia perkahwinan, kedua-dua pasangan itu didakwa bakal bercerai.
Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga mereka sebenarnya sudah bertiup kencang sejak Oktober tahun lalu namun kedua-duanya tidak memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.
Menurut laporan mStar, peguam Syarie yang mewakili Syamsul telah mengesahkan bahawa anak guamnya telah memfailkan cerai terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini.
Difahamkan, perceraian tersebut dilakukan selepas dikatakan tidak ada lagi persefahaman antara mereka.
“Sudah tidak ada persefahaman dalam perkahwinan mereka,” kata peguam Syamsul seperti dilapor.
Terdahulu, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.
Syamsul pernah berkahwin dengan Puteri Sarah namun perkahwinan sembilan tahun itu berakhir selepas Puteri Sarah memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.
BACA JUGA Mahiaddin pertahankan ucapannya, percaya beliau tidak langgar undang-undang