Mahiaddin pertahankan ucapannya, percaya beliau tidak langgar undang-undang

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mempertahankan tindakannya selepas Istana Pahang melalui Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan terhadap beliau.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Mahiaddin berkata, ucapannya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya,” katanya ringkas.

Hari ini negara kecoh apabila Istana Pahang murka dengan Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu itu.

Mahiaddin dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mendakwa dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun tidak dipanggil oleh Agong untuk angkat sumpah.

Pagi ini, Tengku Hassanal bertitah bahawa Mahiaddin telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Baginda menyifatkan Mahiaddin tidak matang, menampakkan seolah-olah masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

BACA JUGA Setiausaha Sulit Tengku Hassanal buat laporan polis terhadap Mahiaddin 

BACA JUGA Peniaga jadi bualan golongan ‘Single’ gara-gara jual nasi lemak bujang RM10