Media sosial dibanjiri ucapan terima kasih PMX, orang ‘gomen’ seronok gaji naik

16 Ogos 2024 merupakan tarikh yang diingati buat lebih 1.6 juta penjawat awam di negara ini apabila pengumuman mengenai kenaikan gaji telah dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Rata-rata penjawat awam dan warga maya menyifatkan pengumuman tersebut pastinya sedikit-sebanyak dapat membantu ekonomi kakitangan kerajaan yang berkhidmat di negara ini.

Untuk rekod, kali terakhir kadar gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada 2013, iaitu membabitkan pemberian satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320.

Susulan khabar gembira itu, salah satu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menzahirkan isi hati mereka kepada Anwar.

”Alhamdulillah terima kasih kepada PMX di atas pengumuman yang baik ini… tahniah kepada seluruh penjawat awam di seluruh Malaysia.

”Terima kasih PMX di atas pemberian SSPA pada tahun ini. Terima kasih banyak-banyak kerana memahami denyut nadi penjawat awam,” demikian antara ucapan daripada kakitangan MADA di media sosial mereka.

Sementara itu, seorang warga maya dikenali sebagai Maelkapan memuji langkah yang diambil Kerajaan Madani meskipun usia pentadbiran belum lagi menjangkau dua tahun.

”Alhamdulillah terima kasih Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan terima kasih Kerajaan Madani, tak sampai dua tahun dah mampu melaksanakan pembaharuan yang baik buat penjawat awam.

”Teruskan usaha untuk kebaikan dan kemajuan Malaysia serta kebajikan buat rakyat.. terima kasih sekali lagi!,” katanya.

Kelmarin, Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi.

Katanya, pelarasan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu yang pertama bermula 1 Disember ini manakala fasa kedua bermula 1 Januari 2026.

BACA JUGA Mesej tular dakwa IJN bakal diswastakan palsu, tidak berasas – Menteri