Pemuda AMANAH Pulau Pinang puji kerajaan bawa warga Palestin terima rawatan

Tindakan kerajaan membawa pulang warga Palestin bagi menerima rawatan di negara ini adalah sesuatu yang wajar dan harus dipuji.

Demikian kata Pemuda AMANAH Pulau Pinang menerusinya Ketuanya, Khairul Ali menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua patut berbangga kerana mempunyai Perdana Menteri yang berjiwa kental dan berani mengambil tindakan membawa mereka ke Malaysia untuk dirawat.

”Marilah kita bersama-sama menyokong usaha ini dan menolak sebarang bentuk kritikan yang tidak berlandaskan kepada pertimbangan kemanusiaan yang sebenar.

”Dalam setiap tindakan kita, kita perlu memastikan bahawa nilai-nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap sesama manusia sentiasa diutamakan.

”Misi membawa pulang warga Palestin untuk rawatan bukan hanya mencerminkan sokongan kepada satu komuniti yang sedang menderita, tetapi juga menunjukkan bahawa Malaysia berpegang kepada prinsip-prinsip kemanusiaan yang tinggi.

”Tindakan ini adalah contoh jelas bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia dapat memainkan peranan dalam usaha-usaha global untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” ujar beliau lagi.

Katanya, tindakan membawa pulang warga Palestin yang cedera adalah manifestasi komitmen Malaysia terhadap tanggungjawab kemanusiaan.

”Malaysia, sebagai negara yang berpegang pada prinsip-prinsip kemanusiaan, wajar menyokong usaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang atau kepentingan politik.

”Walaupun langkah ini dianggap positif daripada sudut kemanusiaan, terdapat suara-suara yang mengkritik dengan pelbagai alasan. Ada yang mempersoalkan kos yang terlibat dan impaknya terhadap sumber negara, manakala yang lain menganggap langkah ini mungkin mempunyai motif politik.

”Namun, perlu diingat bahawa isu kemanusiaan tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut kewangan atau politik. Keutamaan harus diberikan kepada nilai-nilai kemanusiaan dan solidariti yang kita sebagai sebuah bangsa perlu tunjukkan,” katanya lagi.

BACA JUGA Ini sebab mengapa pemuda ini kata Kerajaan Madani ‘superb!’