Setiausaha Sulit Tengku Hassanal buat laporan polis terhadap Mahiaddin 

Satu laporan polis dibuat terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin oleh Istana Pahang yang menyusul selepas titah murka dari Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Mahiaddin didakwa menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri baru-baru ini.

Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berkata, laporan tersebut dibuat selepas menonton rakaman video menerusi aplikasi YouTube yang dimuat naik seorang pemilik akaun ketika berada di Istana Abdulaziz, pada Jumaat.

Menurutnya, kenyataan Mahiaddin sangat bahaya kerana ia secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan kepada institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat.

“Ia juga bersifat fitnah dan menghasut selain menyentuh isu 3R. Malah, kenyataan tersebut jelas menjejaskan nama baik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Disebabkan itu saya tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan adil, tegas dan tanpa kompromi dikenakan ke atas Muhyiddin,” katanya dalam satu laporan polis yang didedahkan Tengku Hassanal.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini pada malam Ahad.

Dalam ceramah itu, Mahiaddin dengan jelas menyebut Yang di-Pertuan Agong ke-16 iaitu Al-Sultan Abdullah tidak menjemput beliau ke istana negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan mendakwa mendapat sokongan 115 ahli Parlimen.

“Dalam petikan ceramah tersebut, beliau (Mahiaddin) seolah-olah menyatakan Al-Sultan Abdullah gagal untuk menghormati perlembagaan persekutuan kerana tidak melantik beliau sebagai Perdana Menteri.

“Jadi, kenyataan ini adalah bersifat sinis, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah (sebagai Agong pada ketika itu) seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri sedangkan pelantikan dibuat dengan teliti serta mengikut perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam hantaran di laman Facebook pula menzahirkan rasa kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

BACA JUGA Tolong respect suami saya raja saya! – Tunku Azizah murka