Tolong respect suami saya raja saya! – Tunku Azizah murka

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjadi sorotan ramai selepas baginda menitahkan agar seorang pengguna media sosial menghormati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tolong respek suami saya raja saya!”, balas Tunku Azizah kepada seorang individu yang meninggalkan komen “respek lagi Tan Sri Muhyiddin”.

Individu yang menggunakan akaun ‘samdoria’ menulis komen tersebut ketika mengulas hantaran Facebook Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail yang meluahkan rasa kecewa dan terkilan dengan ucapan Mahiaddin ketika berkempen di DUN Nenggiri baru-baru ini.

Pagi ini juga, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan terhadap Mahiaddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh tugas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Hassanal bertegas bahawa Mahiaddin memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Baginda juga menyifatkan Mahiaddin tidak matang, menampakkan seolah-olah masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” tegas Tengku Hassanal dalam satu kenyataan rasmi Istana Pahang.

Mahiaddin dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Beliau mendakwa dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya diangkat sebagai perdana menteri.

Namun, kata Mahiaddin, beliau tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

BACA JUGA Tengku Hassanal murka, mahu polis ambil tindakan tegas kepada Mahiaddin