Tak pernah lantik NGO kutip dana bantu rakyat Palestin dirawat di Malaysia
Kementerian Pertahanan tidak pernah melantik mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengutip dana bagi membantu membiayai rawatan pesakit Palestin di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati sebelum menyumbang kepada mana-mana pihak yang kononnya mengutip dana untuk rakyat Palestin yang sedang dirawat.
“Kementerian tidak menggunakan (dan) juga tidak menyokong mana-mana (NGO mengutip dana) sebab kementerian atau hospital tentera ada talian sendiri. Bagi sesiapa yang mahu menyumbang, boleh melalui talian berkenaan buat masa ini.
“Buat ketika ini jika ada pihak yang kononnya (kutip dana) untuk mangsa rakyat Palestin yang sedang dirawat, saya minta – periksa dahulu dengan pihak kami. Kita memang mengalu-alukan orang yang nak tolong, tapi tolong secara terus menerusi talian yang kita buka,” katanya memetik Bernama hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ada medium atau saluran sendiri yang membolehkan mana-mana pihak untuk menyalurkan sumbangan.
Sementara itu beliau berkata, rakyat Palestin yang dibawa masuk ke negara ini tiga hari lepas sedang menerima rawatan dan dijaga dengan baik.
“Keadaan mereka ketika ini baik. Kita beri rawatan yang rapi dan sewajarnya. Buat masa ini mereka sedang dirawat. Bukan boleh dirawat sehari sahaja, kerana kecederaan yang dialami memerlukan rawatan panjang,” katanya.
Jumaat lepas dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 41 pesakit dan 86 waris mereka, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor kira-kira pukul 2 petang.
Kesemua pesakit dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara berkenaan bagi saringan kesihatan.
BACA JUGA Tolong respect suami saya raja saya! – Tunku Azizah murka