Adun PN Pahang sokong Tengku Mahkota, minta polis siasat Mahiaddin
Adun Perikatan Nasional (PN) di Pahang menyatakan sokongan penuh mereka kepada Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkaitan gesaan supaya Tan Sri Mahiaddin Yassin disiasat.
Menurut Ketua pembangkang negeri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pihaknya menyatakan taat setia mereka yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Hassanal dan ayahandanya, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Adun PN Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Muhyiddin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.
”Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Tengku Hassanal dilaporkan murka dan amat terkilan terhadap tindakan Mahiaddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi PN itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).
Baginda menyifatkan kenyataan Mahiaddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.
BACA JUGA Tragedi perahu tambang karam: Tiga pelajar hilang