Dakwat di jari tak hilang lagi, penduduk Nengiri terima kejutan ATM kedua
Tidak sampai seminggu selepas ATM pertama dipasang di Jerek Baru, rakyat Nenggiri kini mengukir senyuman gembira apabila dihadiahkan sebuah lagi mesin ATM yang kali ini diletakkan pula di Bertam Baru.
Kedua-dua daerah Jerek Baru dan Bertam Baru berada di bawah DUN Nenggiri. Jarak kedua-dua ATM ini jika dirujuk dari ‘Google Maps’ adalah sekitar 15 minit.
Sebelum itu pada 14 Ogos, sebuah ATM telah dipasang di Jerek Baru iaitu tiga hari sebelum rakyat DUN Nenggiri mengundi.
Kedua kemudahan tersebut amat dinantikan oleh lebih 30,000 penduduk di sini apabila mereka kini tidak perlu meredah perjalanan sejauh 50 kilometer (km) untuk mengeluarkan wang selepas kawasan tersebut dilengkapi dengan ATM.
Menerusi video dimuat naik di TikTok ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, ATM itu adalah bukti janjinya kepada penduduk untuk memudahkan urusan mereka.
“Alhamdulillah adik kakak ambo di Bertam. Berita gembira. Boleh tengok, mesin ATM untuk orang Bertam Lama, Bertam Baru, Limau Kasturi dan sekitarnya.
“Yang mana selepas ini kalau nak ambil wang kita sudah ada ATM untuk kemudahan penduduk di sini.
“Terima kasih kepada RHB Bank dan semua yang telah memudahkan urusan ini,” katanya.
BACA JUGA Ramai terkejut lihat gaun sanding Jeslina Hashim, rupanya dihiasi 10,000 berlian