Mahiaddin, PN perlu henti bangkitkan isu keabsahan pelantikan PMX – Faiz

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin dan gabungan parti itu diingatkan agar berhenti membangkitkan isu keabsahan tentang pelantikan Perdana Menteri Ke-10.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, rakyat seharusnya dididik untuk menumpukan kepada usaha membangunkan negara dan pemulihan ekonomi.

Katanya, agenda yang sedang diusahakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pasukan kerajaan Perpaduan seharusnya mendapat sokongan dan pengiktirafan semua pihak.

”Mahiaddin dan PN harus berhenti membangkitkan isu keabsahan PM ini.

”Berhentilah daripada mengelirukan rakyat dengan fakta dan undang-undang yang tidak meyakinkan.

”Tindakan Mahiaddin menghina kewibawaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah amat mendukacitakan.

”Hakikatnya, Datuk Seri Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas meneliti sokongan ahli-ahli Parlimen dan pandangan pakar-pakar Perlembagaan dan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Faiz lagi, Pakatan Harapan (PH) selaku gabungan yang telah memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 iaitu 82 kerusi telah diberikan peluang membentuk kerajaan.

Namun Faiz berkata, PN dan Mahiaddin telah menolak pembentukkan Kerajaan Perpaduan walaupun idea ini telah diutarakan YDPA ketika itu, Sultan Abdullah.

Ujar beliau lagi, Anwar telah membuktikan mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen menerusi usul percaya pada 19 Disember 2022, dan ketika itu ia disokong oleh 153 ahli Parlimen.

”Tindakan ini adalah selari dengan maksud Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 40 (2) dan 43 (2). Namun, ketika berlaku langkah Sheraton dan sepanjang pentadbiran Mahiaddin, tidak pula berlaku usul undi percaya di Parlimen, kenapa Mahiaddin tidak berani ketika itu?

”Proses keabsahan sokongan majoriti seseorang PM ini adalah sangat penting dalam amalan demokrasi tulen bagi mewujudkan kestabilan politik dalam keadaan tidak ada mana-mana parti memperolehi majoriti cukup iaitu 112 kerusi Parlimen,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, Muhamad Faiz turut menyatakan tentang kestabilan politik di bawah pimpinan Anwar Ibrahim yang telah mendorong Malaysia mencatatkan kejayaan dalam pelbagai aspek.

”Antaranya buat dua suku tahun berturut-turut, KDNK negara telah melangkaui jangkaan pakar. Terbaharu, KDNK Malaysia melonjak 5.9 peratus pada suku kedua 2024.

”Susulan itu, OCBC, RHB Research, Hong Leong Investment Bank Research dan BMI Research, antara lain telah menaikkan ramalan pertumbuhan KDNK untuk tahun ini.

”Pasaran saham Bursa Malaysia juga sedang melonjak dan sejak pertengahan 2023 sehingga sekarang, FBM KLCI telah meningkat lebih 19 peratus.

”Ringgit pula telah mengukuh ke paras 4.37 berbanding US dollar dan ringgit adalah matawang paling berprestasi positif tahun ini dalam kalangan matawang Asia,” puji Muhammad Faiz terhadap kepimpinan Kerajaan Madani.

BACA JUGA Adun PN Pahang sokong Tengku Mahkota, minta polis siasat Mahiaddin