‘Overdose’ kempen Annuar Musa, Ibrahim Ali antara punca Pas kalah di Nenggiri
Meskipun Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri telah tiga hari berlalu, namun pandangan demi pandangan terus dilontarkan berkaitan pilihan raya yang dimenangi Barisan Nasional (BN).
Pensyarah Program Pengajian Polisi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berpendapat, terlebih dos dalam kempen Perikatan Nasional (PN) turut menjadi faktor penyumbang kemenangan BN di Nenggiri.
“Pas sebenarnya semakin kuat di Nenggiri, bahkan dalam PRU14, BN hanya menang 400 undi sahaja, sebelum Pas/PN menang 800 undi dalam PRN 2023.
“Logiknya lebih mudah untuk Pas/PN menang dalam PRK ini walaupun hanya bersandar kekuatan semasa Pas.
“Namun, overdose kempen sedikit sebanyak mengganggu rentak kempen.
“Majoriti dos-dos itu pula terlebih suntik oleh pemain import dan pemain naturalisasi dalam kempen PN seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Ibrahim Ali dan lain-lain lagi, ramai kalau hendak disenaraikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut ahli akademik itu lagi, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kemenangan parti yang menggunakan logo dacing itu.
Beliau berkata, antaranya adalah strategi memujuk pengundi teras berjaya dilakukan.
“Kali ini lebih mudah kerana mereka memujuk pengundi teras untuk undi mereka sendiri, berbanding di Sungai Bakap pujuk untuk undi parti lain.
“Kedua, mereka berjaya dapatkan kembali segmen pengundi etnik Orang Asal. Ini adalah deposit tetap BN sekian lama, namun sebahagiannya tidak keluar dalam PRN lepas.
“Ketiga adalah strategi kempen secara langsung dengan pengundi sasar. Mereka tidak bazirkan masa dengan ceramah-ceramah, sebaliknya terus rumah ke rumah menyantuni pengundi sasar,” kata Yusri lagi.