Rekod prestasi luar biasa Bursa Malaysia dalam 44 bulan, penyelidik akui ekonomi kini memberangsangkan

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua Malaysia sebanyak 5.9 peratus menandakan ekonomi domestik yang memberangsangkan.

“Prestasi luar biasa ini telah meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong peningkatan pasaran secara menyeluruh.

“Tambahan pula, angka dagangan bagi Julai 2024 telah menunjukkan kekuatan yang mengagumkan, melonjak 18.9 peratus tahun ke tahun untuk mencecah RM255.88 bilion.

“Ini mewakili nilai dagangan tertinggi sejak Oktober 2022 dan menggariskan daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Bursa Malaysia melonjak 1.53 peratus dengan indeks komposit berakhir pada paras tertinggi dalam 44 bulan, didorong oleh sentimen positif susulan data ekonomi tempatan yang kukuh.

Pada penutup dagangan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI) naik 24.80 mata kepada 1,648.70 daripada 1,623.90 ketika ditutup pada 16 Ogos.

FBM KLCI, yang menerajui peningkatan indeks serantau, terdahulu melonjak ke paras tertinggi intra day pada 1,653.35, mencecah paras yang belum pernah dicapai dalam tiga tahun dan lapan bulan, yang ditutup 1,652.49 pada 18 Dis, 2020.

Indeks dibuka tinggi 1.24 mata lebih tinggi pada 1,625.14 dan turun pada paras 1,624.58 pada sesi awal pagi.

Pada keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 606 kepada 546, dengan 463 kaunter tidak berubah, 880 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.89 bilion unit bernilai RM4.30 bilion daripada 3.22 bilion unit bernilai RM2.75 bilion Jumaat lepas.

Mengulas lanjut, Mohd Sedek berkata, sentimen pelabur asing turut menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas tempoh turun naik.

“Walaupun jualan bersih RM768.4 juta direkodkan minggu lepas, dana asing kembali ke pasaran minggu ini dengan pembelian bersih RM299.6 juta dalam ekuiti Malaysia.

“Sektor kewangan telah menjadi penerima manfaat utama persekitaran ekonomi yang positif.

“Memandangkan peranan penting mereka dalam pengantaraan dana antara penyimpan dan peminjam, institusi kewangan lazimnya berkembang maju dalam tempoh pengembangan ekonomi,” katanya, memetik Bernama.

Jelasnya, walaupun sektor kewangan telah menerajui pasaran, sektor lain, seperti penjagaan kesihatan, yang ketinggalan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, turut menarik minat pelabur.

“Penyertaan meluas ini menekankan sifat pengembangan ekonomi yang teguh,” katanya lagi.

BACA JUGA Yusuf Azmi diseru selepas Tengku Mahkota Pahang murka Mahiaddin hasut rakyat

Â