Yusuf Azmi diseru selepas Tengku Mahkota Pahang murka Mahiaddin hasut rakyat

Warganet secara menyindir tertanya-tanya ke mana ghaibnya individu bernama Yusuf Azmi yang dianggap paling menggeletar apabila isu berkaitan Raja-Raja Melayu disentuh.

‘Misteri’ kehilangan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) itu susulan titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menzahirkan kemurkaan dan terkilan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Semalam, menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal menyifatkan Mahiaddin secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Sehubungan itu, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Tengku Hassanal turut bertitah kenyataan Mahiaddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ekoran itu, sedutan kenyataan garang Yusuf yang juga bekas Pengarah Unit Tindakan Khas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terhadap pihak yang menghina raja turut tersebar kembali.

“Sekiranya ada Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu dihina, kita adalah InsyaAllah di barisan hadapan untuk membela mereka kerana mereka sebagai ulul amri (pemerintah yang sah) bagi kita,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan pada 22 November 2022 iaitu tiga hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), individu yang mempunyai lebih 400,000 pengikut di Instagram itu menggunakan huruf besar untuk menegaskan, “SAYA HILANG SABAR!”.

Yusuf beralasan bahawa dia dan kumpulannya berhimpun di perkarangan Istana Negara bagi membela Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu.

Reaksinya itu susulan keputusan PRU15 yang menunjukkan tiada parti yang memperolehi 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen dipertandingkan dengan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, PN (73), BN (30), GPS 23), GRS (6), Warisan (3) dan Lain-lain (4).

Namun, Yusuf menafikan cemuhan orang ramai ketika itu yang menyifatkan perhimpunan mereka sekadar buat kecoh.

“… bukan semata-mata memohon pembentukan kerajaan segera seperti yang digempar-gempurkan sesetengah pihak, tetapi adalah untuk merayu kepada YDPA supaya membuat keputusan berdasarkan pilihan rakyat dan bukan kerana desakan yang diterima,” dalih Yusuf lagi.

BACA JUGA Belum 2 tahun berkahwin, Syamsul Yusof dan Ira Kazar bercerai? Peguam Syamsul dedah punca