Akhirnya muncul lepas diseru, Yusuf Azmi kata tak mahu campur hal politik

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM), Yusuf Azmi akhirnya muncul selepas diseru orang ramai berkait kes Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang membuat Istana Pahang murka.

Dalam satu video dimuat naik di Facebook, Yusuf Azmi berkata, untuk isu menghina institusi diraja dengan melontarkan perkataan yang tidak baik, kumpulan mereka sentiasa di barisan hadapan.

Namun untuk kes membabitkan Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, aktivis berkenaan tidak mahu berpihak dan masuk campur hal politik.

“Benar, untuk isu begini (hina institusi raja) kami sentiasa di barisan hadapan, membela. Tetapi bila berkait dengan hal politik, saya tidak berpihak dan tak masuk campur hal politik,” katanya.

Oplus_131072

Kata Yusuf Azmi, dia melihat apa yang berlaku adalah pertikaian antara dua komponen politik dan tidak memberi untung kepadanya.

Dalam klip video berdurasi 5 minit itu, aktivis yang sebelum ini lantang mempertahankan institusi diraja langsung tidak menyentuh berkenaan ucapan Mahiaddin yang telah menyinggung Tengku Mahkota Pahang.

Dia juga tidak langsung mengkritik Presiden Bersatu itu, apatah lagi mengulas berkenaan isu sebenar dibangkitkan ramai.

Aktivis berkenaan malah mengatakan dia tidak mahu terlibat dengan komen-komen cacian, serta mendakwa isu ini dimainkan oleh tentera siber yang diupah untuk mencari kesalahan orang lain.

Sikapnya yang berlainan dalam isu ini dipersoal ramai. Ada beberapa individu menemui gambar aktivis berkenaan berceramah di atas pentas PN, sekaligus menjawab persoalan mengapa dia mendiamkan diri dalam isu ini.

Sementara itu di aplikasi X, satu video lama ketika dia berhimpun bersama kumpulannya tular semula.

Jelas dalam video itu, dia berkata parti-parti yang menang kerusi seolah-olah sudah menunjukkan taring tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong. 

“Kalau itulah pemimpin yang kita tunggu-tunggu untuk jadi pemerintah di negara kita, ia menjadi satu bala dan bahaya yang besar kepada kita,” katanya dalam klip video lama.

BACA JUGA Netizen mulakan hashtag #tangkapmuhyiddin di media sosial