Didenda RM4,500 akibat buat hantaran jelik di TikTok
Akibat membuat hantaran jelik dalam TikTok, seorang wanita didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Eni Nooryanie Mohamad, 42, turut berdepan hukuman tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan, lapor BH.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain menerusi media sosial itu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu menerusi aplikasi TikTok pada 25 April 2023 kira-kira jam 10 malam.
Hantaran itu disedari pengadu yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada keesokan harinya.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah 233(3) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim.
BACA JUGA Menteri lepak dengan pelajar di kedai mamak tuai perhatian ramai