Kalau calon bekas BN, boleh menang di Nengggiri, kata Annuar Musa

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berpendapat jika calon PN pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini datang daripada kalangan bekas pemimpin UMNO, seperti pada PRN lepas, keadaan mungkin berbeza.

Menurutnya, hal ini kerana undi UMNO tentunya akan berpecah dan tenaga kempen tempatan juga akan lebih berkesan apabila datangnya dari kalangan penyokong UMNO.

“Malangnya tidak seperti di Sungai Bakap, perkara ini tidak terjadi. Ramai dari kalangan mereka merasakan mereka dikesampingkan,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, katanya, BN juga telah menggunakan strategi BN tanpa DAP dan PH.

“Mereka memujuk semula lebih daripada 2,000 pengundi putih UMNO yang dahulunya tidak keluar mengundi pada PRU-15. Pendekatan itu berkesan,” ujarnya.

Dalam keputusan PRK DUN Nenggiri, 17 Ogos lalu, BN merampas kembali kerusi terletak di bawah Parlimen Gua Musang itu apabila calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan majoriti bergaya 3,352 undi.

Pas tersungkur teruk apabila calonnya, Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN) hanya mendapat 5,739 undi.

Mengulas lanjut, Annuar yang sah menjadi ahli Pas pada Jun tahun lalu berkata, gerakan memujuk pengundi yang dulu tidak keluar membuang undi ternyata berjaya.

Dakwanya, hal tersebut kerana insentif dan pelincir kewangan yang lumayan serta sentuhan bekas-bekas ADUN UMNO (bekas YB Yusof dan Haji Aziz) yang bekerja bagi pihak calon UMNO-BN.

“Mereka berjaya menambah jumlah keluar mengundi (turnout) hampir 3,000 pengundi yang dulunya tidak mengundi pada PRU-15.

“Turn-out yang tinggi mencecah 74% berbanding 61% peratus semasa PRN melonjakkan undi mereka daripada kira-kira 6,000 kepada 9,000 undi, iaitu pertambahan hampir 3,000 undi,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Didenda RM4,500 akibat buat hantaran jelik di TikTok