Sudahlah tersungkur di Nenggiri, dia mula balik dah ratib DAP…
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilihat cuba mengitar semula sentimen dengan meratib DAP selepas Perikatan Nasional (PN) tersungkur teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Pemimpin muda PN itu mempersoalkan ketiadaan DAP yang merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dalam kempen di Nenggiri.
Wan Fayhsal bahkan menyentuh isu penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau Superman Hew.
“Kalau DAP bukan liabiliti kenapa tak bagi turun kempen di Nenggiri hari itu?
“Kenapa nak sorok-sorok rakan sepemerintahan?
“Patutlah komik promosi komunis dan hina Islam boleh lepas,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berkenaan berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai DAP bukan liabiliti kepada UMNO.
Kata Presiden UMNO itu, perbezaan pendapat yang berlaku dalam kalangan pemimpin parti Kerajaan Perpaduan terutamanya antara DAP dan UMNO tidak boleh dianggap sebagai satu liabiliti untuk menarik sokongan orang Melayu.
Mengulas lanjut, Wan Fayhsal menganggap DAP sebagai “abang besar” yang mampu mengetepikan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Setakat sembang dalam media sosial kritik panjang lebar tapi akhirnya tetap lulus semula maknanya DAP adalah “abang besar” yang mampu mengetepikan bukan saja PKR, AMANAH malah penjaga UMNO yang mendabik dada sebagai pelindung Melayu/Islam dalam kerajaan Madani.
“Jadi, betul ke apa yang DS Zahid Hamidi katakan: DAP bukan liabiliti kepada UMNO?
“Kalau betul baguslah, teruskan!” tempelak Wan Fayhsal lagi.
BACA JUGA Menteri lepak dengan pelajar di kedai mamak tuai perhatian ramai