150 NGO, individu, gesa rakyat Malaysia ketepi prasangka, lihat sebagai isu kemanusiaan

Sebanyak 150 pertubuhan masyarakat sivil termasuk individu hari ini menzahirkan pandangan mereka tentang usaha kerajaan membawa rakyat Palestin menerima bantuan perubatan di negara ini.

Mereka berkata, sebagai ahli yang bertanggungjawab dalam masyarakat antarabangsa, Malaysia mempunyai kewajipan moral dan undang-undang untuk melakukan segala kuasa dan keupayaan bagi membantu orang awam yang tidak bersalah di kawasan konflik.

Malah mereka menyifatkan bahawa kerajaan boleh dan harus melakukan lebih banyak lagi untuk membantu pelarian Palestin.

”Oleh itu, amat mendukacitakan untuk melihat reaksi negatif sebilangan rakyat Malaysia terhadap keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

”Rakyat Palestin yang dibawa ke sini hanyalah sebilangan kecil berbanding mereka yang menghadapi kematian dan kemusnahan di tanah air mereka.

”Kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengetepikan prasangka mereka dan melihat ini sebagai isu kemanusiaan,” ujar mereka lagi.

Menurut mereka, terdapat satu kewajipan moral iaitu masyarakat mesti bertindak dengan belas kasihan terhadap sesama manusia yang menderita.

”Ini mengatasi semua perbezaan kita kerana ia mengiktiraf hak setiap manusia untuk hidup bermaruah dan bebas daripada ketakutan.

”Kami juga menyeru kerajaan untuk mengambil langkah mengiktiraf hak semua pelarian yang berada di negara ini, bukan hanya rakyat Palestin,” ujar mereka.

150 pertubuhan dan individu itu antaranya adalah Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM); Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM); Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Pada 17 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dan sedih dengan sikap sesetengah pihak yang mengecam langkah kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.

Anwar berkata, tindakan merawat mereka terbabit adalah tanggungjawab kecil yang dilakukan atas dasar belas kasihan dan ihsan terhadap rakyat Palestin yang cedera parah akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.

BACA JUGA ‘Hari gelap buat saya’ – Yasin dipenjara seumur hidup, 16 sebatan