Anwar jumpa pemimpin, ulama Islam di India
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke India dengan mengadakan pertemuan bersama pemimpin dan ulama Islam di New Delhi.
Perdana Menteri berkata, pertemuan tersebut memberi penekanan kepada kepentingan keharmonian antara kaum terutamanya di India.
“Sebelum berangkat pulang saya juga menerima kunjungan pemimpin-pemimpin Islam India antaranya Maulana Syed Ahmed Bukhari dari Jama Masjid dan Maulana Mahmood A. Maddani dari Jamiat Ulama-i-Hind.
“Kami juga berkongsi pandangan terkait isu terkini umat Islam di India,” kata Anwar menerusi Facebook rasmi beliau.
Lawatan rasmi Anwar, daripada 19 hingga semalam padat dengan pelbagai acara yang menjurus kepada usaha meningkatkan hubungan dua hala India-Malaysia daripada Perkongsian Strategik yang Dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Anwar merupakan Perdana Menteri pertama ke India bagi lawatan rasmi dua hala selepas tujuh tahun.
Beliau dan rakan sejawatannya Narendra Modi menunjukkan hubungan rapat, apabila menyifatkan Modi sebagai ‘mere dosthi’ (rakan sejati).
Menteri Kewangan itu juga bertemu dengan Ketua Pembangkang di Parlimen India, Rahul Ghandi, dalam, perjumpaan yang tidak dijadualkan dalam acara rasmi.
Pertemuan dengan pemain dan peneraju pelbagai perindustrian dalam perjumpaan meja bulat pula menyaksikan tujuh memorandum persefahaman (MoU) dimeterai melibatkan syarikat dari Malaysia dan India.
MoU terbabit merangkumi industri logistik, ekuiti swasta, pelaburan dan syarikat pemula.
Kunjungan Anwar ke New Delhi menghasilkan potensi perdagangan yang diraih Malaysia mencecah RM8 bilion dan komitmen pelaburan RM4.5 bilion dari syarikat-syarikat di India.
BACA JUGA Muhyiddin cuba alih tiang gol, tumpuan masih pada ucapan hina institusi raja