Mahiaddin cuba alih tiang gol, tumpuan masih pada ucapan hina institusi raja
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin dilihat cuba mengalihkan tiang gol daripada kontroversi ucapannya ketika berkempen sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan merujuk kepada 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata, dokumen lama tersebut kini tidak lagi relevan kerana tumpuan utama masih tertumpu kepada ucapannya yang didakwa menyentuh isu sensitif 3R (kaum, agama, raja).
“Tindakan beliau (Mahiaddin) ini dilihat sebagai usaha untuk mengelak daripada menghadapi implikasi serius akibat kenyataannya yang menghina institusi diraja,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Mahiaddin memberitahu telah menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan berhubung isu 3R semasa berkempen bagi PRK DUN Nenggiri.
Menurutnya, antara dokumen yang diserahkan adalah surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022 mengandungi titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang meminta Ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
Mahiaddin juga menyerahkan 115 Akuan Berkanun Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022.
“Satu lagi Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Setiausaha Sulit Kanan baginda, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim yang mengesahkan beliau menerima dokumen itu,” jelasnya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Onn Abu Bakar berkata, Akuan Berkanun yang dirujuk oleh Mahiaddin tidak lagi terpakai dalam konteks semasa.
Wakil rakyat PKR itu menegaskan bahawa pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah disahkan melalui undi percaya di Parlimen sekaligus menjadikan segala dokumen terdahulu tidak lagi relevan dari segi undang-undang dan Perlembagaan.
“Tindakan Muhyiddin ini juga dilihat sebagai cubaan untuk mempertikaikan semula keputusan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, walaupun beliau menafikan niat untuk menghina institusi diraja.
“Perkara ini telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, termasuk Tengku Mahkota Pahang yang dilaporkan murka atas tindakan yang dianggap “memperlekeh” tugas Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Agong,” kata Onn Bakar lagi.
BACA JUGA Siasatan nahas Ebrahim Raisi dah selesai, ini rupanya punca helikopter terhempas