Jelajah Amanat Merdeka bakal edar skrol ucapan Tunku Abdul Rahman

Yayasan Rahmah Malaysia bakal menganjurkan Jelajah Amanat Merdeka dengan orang ramai berpeluang mendapat agihan skrol salinan ucapan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa pengisytiharan Hari Kemerdekaan,67 tahun lalu.

Penasihat Projek Jelajah Amanat Merdeka, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, program unik itu dijadualkan berlangsung di semua lokasi pasar tani yang dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Selain itu, karnival sempena Hari Kebangsaan dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ kali ini juga akan diadakan mengikut zon dengan pelancarannya di Guar Cempedak, Kedah pada 30 Ogos ini.

Mujahid Yusof

“Ada konsert dalam kanival ini dengan dendangan lagu yang menjiwai semangat merdeka.

“Kita juga ada Agro Madani dan Jualan Rahmah yang membolehkan rakyat mendapat barangan keperluan dengan harga lebih rendah.

“Orang ramai juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk orang ramai bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini,” katanya ketika ditemui Harapandaily di Wisma AMANAH di ibu negara hari ini.

Menurutnya, konvoi Jelajah Amanat Merdeka di zon timur pula akan diadakan di Kuala Terengganu pada 1 September manakala kemuncaknya pada 16 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

BACA JUGA Suami isteri sanggup sewa tanah tanam jagung, berjaya tuai hasil cecah RM10,000