‘Book’ tiket percutian keluarga guna nama kerajaan negeri, ini kes dihadapi bekas MB Perlis

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man didakwa telah membatalkan pakej percutian keluarganya ke London pada 2016 – dengan wang ‘refund’ itu dimasukkan ke akaun peribadinya.

Saksi memberitahu Mahkamah Sesyen, kerajaan negeri Perlis telah membayar sejumlah RM253,195.40 bagi percutian Azlan yang bermula 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 kepada syarikat agensi pelancongan, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Azlan Man didakwa membatalkan percutian itu dan wang berjumlah RM222,811.95 yang sepatutnya dipulangkan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, dimasukkan ke akaun peribadi beliau.

“Pakej percutian Azlan pada tahun 2016 itu tidak berlaku, namun wang berjumlah RM222,811.95 melalui cek bertarikh 24 Januari 2017 telah dipulangkan kepada Azlan melalui akaun peribadi beliau atas arahan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Perlis, Herwadey Hashim ketika itu.

“Jumlah itu (RM222,811.95) selepas ditolak 12 peratus daripada RM253,195.40 caj perkhidmatan yang telah dikenakan oleh syarikat Aidil Travel & Tours Sdn Bhd,” kata saksi kes yang juga Pengurus Jualan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Sebelum itu kelmarin (21 Ogos), Pengarah Syarikat Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Alimah Omar, memberitahu mahkamah bahawa bayaran balik bagi pembatalan percutian Azlan berjumlah RM629,395.30 sepatutnya dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis tetapi beliau dimaklumkan tuntutan bayaran balik itu dibuat oleh Azlan, maka cek dikeluarkan atas nama Azlan Man.

Mengenai penyerahan cek pembatalan pakej percutian itu, Abdul Rahim berkata, beliau menyerahkan cek tersebut kepada Herwadey di Alamanda, Putrajaya pada 2017.

Selain itu, Abdul Rahim berkata, kerajaan negeri turut membuat tempahan pakej percutian Azlan sekeluarga ke London di antara 23 hingga 30 November 2017 dan meluluskan pembayaran RM244,079.30 kepada Aidil Travel & Tours.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung lagi pagi ini.

BACA JUGA Konvoi Jelajah Amanat Merdeka bakal edar skrol ucapan Tunku Abdul Rahman