Satu Malaysia sebak saksikan detik Tunku Azizah dakap lama Tengku Afzan 

Detik Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendakap lama anakandanya, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dirakam dalam siaran langsung malam tadi.

Momen kedua-dua bersalaman dan berpelukan mengundang rasa sebak dalam kalangan penonton.

Ia dirakam ketika Istiadat Merenjis selepas Tengku Afzan selesai diijabkabulkan dengan suaminya, FD Idzham FD Iskandar di Istana Abdulaziz, malam ini.

Tengku Ampuan Pahang kelihatan tidak dapat menahan sebak ketika berpelukan dengan anakanda kesembilan daripada 10 orang adik-beradik itu ketika berada di atas mahligai pelamin.

Tengku Ampuan Pahang juga dilihat mencium dahi Tengku Afzan berkali-kali sambil menitipkan pesanan kepada FD Idzham yang berada di sebelah anakandanya

Tengku Afzan adalah anakanda perempuan yang pertama untuk Tunku Azizah dan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Di media sosial,.ramai yang sempat merakam saat itu dan memuat naik dengan kapsyen yang menyentuh hati.

“Anak perempuan pertama yang lahir dari rahim Tengku Ampuan Pahang. Anak perempuan pertama Tengku Ampuan Pahang dan Sultan Pahang berkahwin mana tak sebak,” kata Nurani.

“Aku pula sebak nengoknya,” kata Fizaa pula.

“Kasih ibu sebak nak melepaskan puteri kesayangan,” komen Zaharah.

Pasangan diraja itu selamat dinikahkan oleh Mufti Negeri Pahang, Datuk Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim yang diperkenankan oleh Sultan Pahang menjadi wakil rasmi Baginda di majlis tersebut.

Pada istiadat akad nikah itu, kedua-dua pasangan diraja itu tampak segak dan manis mengenakan baju Melayu dan baju kurung berona putih.

BACA JUGA Status ‘anak jantan’ Wan Ahmad Fayhsal dipersoal