Lain macam penangan kalah Nenggiri, Hadi Awang kaitkan PH-BN dengan dajjal

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumpamakan kerajaan hari ini yang terdiri dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) seperti dajjal.

Beliau melalui tulisannya dalam Minda Presiden Pas bertajuk “politik bohong dan kebendaan tetap menjadi pilihan UMNO-PH”, mendakwa kemenangan kerajaan pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini kerana politik dajjal.

Kata beliau, UMNO yang rosak bersama PH telah meneruskan konsep kebendaan bagi menegakkan dan mempertahankan kerajaannya. 

Ia katanya digunakan sebagai senjata dengan cara yang “lebih daripada dajjal”.

“Kita menyaksikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri di Kelantan baru-baru ini, betapa politik Dajjal menjadi senjata lama yang merosakkan UMNO terus digunakan lagi dengan tenaga perasuah dan penerima rasuah. 

“Kini, mereka berkeliaran dalam PH yang menjadi kerajaan berkuasa dan dijadikan tempat pergantungan makhluk perosak sepanjang zaman. 

“Dua sifat yang ada pada Dajjal dalam dirinya, iaitu pembohong dan menggoda dengan kesenangan hidup dunia tanpa sempadan halal dan haram,” katanya di Facebook.

Hadi Awang mendakwa kerajaan membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya menyokongnya, pada masa yang sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama dan amalan demokrasi. 

“Sedangkan mereka telah mengambil cukai daripada semua rakyat, termasuk pembangkang. Maka, terbukti mereka lebih daripada Dajjal yang tidak memungut cukai,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyebut banyak kepimpinan UMNO hari ini meninggalkan parti itu dan menyertai Pas yang berjuang demi agama, bangsa dan tanah air, laksana Muhajirin dan Ansar yang akhirnya bersatu wadahnya. 

“Jalan Allah yang betul hanya satu sahaja. Adapun jalan-jalan yang banyak yang bercabang-cabang daripadanya adalah jalan yang terpesong dan merosakkan,” tambahnya.

BACA JUGA Mahiaddin pecah rekod, mungkin bekas PM pertama ada lebih 300 laporan polis