Sah Norza umum letak jawatan berkuatkuasa hari ini

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan pengunduran dirinya, sekaligus melepaskan jawatan presiden secara rasmi hari ini.

Beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan daripada badan induk itu selepas tujuh tahun berkhidmat.

Datuk V Subramaniam, bakal bertindak sebagai pemangku presiden buat ketika ini sehingga Mesyuarat Agung Tahunan BAM diadakan sekitar April tahun depan.

Norza berkata sudah tiba masanya untuk beliau melepaskan jawatan.

“Sudah tiba masanya untuk saya melepaskan jawatan selaku Presiden BAM dan selepas ini BAM akan diterajui barisan kepimpinan yang baharu serta meneruskan kesinambungan tugas yang telah saya tinggalkan,” katanya.

Di akhir tempoh perkhidmatannya, Norza dikritik hebat peminat sukan tanah air selepas didakwa menggunakan kuota khas untuk membawa keluarga ke temasya Olimpik Paris 2024.

Biarpun penjelasan dibuat, kemarahan orang ramai terhadapnya tidak dapat dibendung.

Beliau sebelum ini berkata, kehadiran keluarganya ke temasya berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh beliau.

BACA JUGA Malaysia cipta sejarah, eksport durian segar pertama ke China hari ini