Sebelum UmDAP, awal lagi dah ada PasDAP – Saarani beritahu Pas
Sebelum meracun orang Melayu dengan momokan ‘UmDAP’ untuk menanam kebencian terhadap Kerajaan Perpaduan, Pas diingatkan bahawa mereka juga pernah bekerjasama dengan DAP.
Menteri Besar Perak yang juga Ketua UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sejarah menunjukkan Pas terlebih dahulu menjalankan kerjasama dengan DAP, walaupun UMNO pernah menghulurkan tangan persahabatan selepas PRU 2008.
“Kita pujuk Pas untuk tubuh kerajaan dengan BN, dapat 34 kerusi undi dan kita boleh panggil itu kerajaan UmPas (Umno dan Pas) tetapi mereka tolak sebaliknya gabung dengan DAP…jadilah ‘PasDAP’ (PAS dan DAP).
“Ini cerita 2008, budak muda sekarang kalau umur 18 tahun dia tak tahu cerita ini (sejarah hubungan Pad dan DAP),” katanya memetik laporan FMT.
Saarani berkata, Bersatu juga tidak terkecuali, malah kerjasama dengan DAP membolehkan Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat semula sebagai perdana menteri di era pentadbiran PH yang hanya bertahan hingga 2020.
Saarani juga melabel gabungan Bersatu dan DAP sebagai BersaDAP.
“Mengapa bila tiba waktu UMNO, dimomok, dihentak, dimaki, dicerca dan ditakutkan orang Melayu, sedangkan Pas dulu pernah tubuh atas dasar PasDAP dan Bersatu pula BersaDAP,”katanya.
Saarani berkata, kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP di Perak selepas PRU15 bukan dibuat suka-suka sebaliknya demi kepentingan negeri bagi membolehkan penubuhan kerajaan ketika itu.
BACA JUGA Penyokong pembangkang sakit hati tengok Rafizi, ‘relaks’ je tuan badan balas balik