Bekalan air Sabak Bernam, Hulu Selangor bakal diagih

Bekalan air akan mula diagihkan selepas mencapai paras yang diperlukan, susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bernam, semalam.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan ia termasuk mematuhi piawaian kualiti air terawat dan ketika ini pengisian kolam imbangan air terawat sedang dilakukan.

“Sehingga jam 6 pagi, LRA Sungai Bernam masih sedang dipulihkan secara berperingkat.

“Pemantauan kualiti air secara berkala terus dijalankan bagi mengukur kadar kekeruhan air mentah di Sungai Bernam disebabkan cuaca hujan lebat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, bantuan alternatif melalui lori tangki akan terus digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal.

“Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com atau alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” jelasnya.

Sebanyak 205 kawasan di Sabak Bernam dan satu lagi di Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia susulan penerimaan hujan yang tinggi serta kejadian kepala air di kawasan hulu Sungai Slim dan Sungai Geliting, dekat Perak.

BACA JUGA Tiga kali keabsahan PM Anwar teruji dan terbukti, ‘move on’ lah