Tiga kali keabsahan PM Anwar teruji dan terbukti, ‘move on’ lah
Sudah tiga kali keabsahan kerajaan Madani yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim teruji dan terbukti walaupun Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin membangkitkan isu perakuan berkanun (SD).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kali pertama keabsahan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 terbukti semasa usul undi percaya yang dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022.
Menerusi satu kenyataan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, keabsahan Kerajaan Perpaduan sekali lagi terbukti apabila Belanjawan 2023 diluluskan pada 9 Mac 2023.
Belanjawan pertama yang dibentangkan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan diluluskan di Parlimen itu selepas majoriti ahli Dewan Rakyat menyatakan sokongan pada Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023.
Bukti ketiga, jelas Fahmi, ialah apabila Dewan Rakyat pada 2 November 2023 meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024), selepas RUU itu selesai dibahaskan di peringkat dasar.
RUU Perbekalan 2024 itu diluluskan menerusi undian suara ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Tiada pertikaian lagi. Move on!” tegas Fahmi lagi.
Sebelum ini, Mahiaddin buat kesekian kalinya membangkitkan isu SD walaupun Anwar telah membuktikan sokongan terhadapnya di Dewan Rakyat.
Semasa kempen PRK Nenggiri lalu, Mahiaddin mendakwa dia memiliki 115 SD selepas PRU15, dan dakwanya jumlah itu cukup untuknya dilantik menjadi Perdana Menteri.
BACA JUGA Jadi juara Piala FA tiga kali berturut-turut, ringkas saja reaksi Tunku Ismail