Dah dapat anugerah Datuk, Remy Ishak akui tak cari gelaran

Sudah pun bergelar Datuk, pelakon Remy Ishak tidak menyangka terpilih menerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hari ini.

Pelakon filem aksi ‘The Experts’ berkenaan menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk.

Pemilik kepada nama sebenar Mohamad Zalimei Ishak, 42, itu menyifatkan gelaran tersebut sangat bermakna sepanjang karier bergelar anak seni sejak kira-kira 20 tahun lalu.

“Memang tak pernah bermimpikan pun sebenarnya (untuk menerima gelaran Datuk)… mencari gelaran itu tidak, tapi diberikan hadiah kepada saya.

“Ia memberi satu suntikan semangat kepada saya untuk lebih berjaya pada masa akan datang sekali gus memberi galakan kepada anak-anak muda di negeri ini untuk mengejar cita-cita mereka,” katanya, dipetik BH.

Sementara itu, pelakon Ashraf Muslim menerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) yang dianggapnya merupakan satu ganjaran besar buat dirinya semenjak menceburkan diri dalam dunia seni kira-kira 20 tahun dahulu.

BACA JUGA Kekang mpox: KKM sudah aktifkan bilik gerakan