Kekang mpox: KKM sudah aktifkan bilik gerakan
Bilik gerakan khusus untuk wabak cacar monyet atau mpox sudah diaktifkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan bagi memantau dan menghindari penularan wabak itu, bermula 16 Ogos lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bilik gerakan itu berperanan memantau situasi wabak mpox di dalam dan luar negara, serta berkolaborasi dan menyelaras langkah pencegahan dan kawalan bersama-sama negara ASEAN.
“Kita sememangnya sentiasa memantau perkembangan wabak tersebut secara aktif. Selain itu, kita juga melaksanakan saringan suhu di semua pintu masuk negara.
“Sebenarnya, saringan suhu ini memang kita telah laksanakan sejak penularan Covid-19 lagi dan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Hospital Dungun, Klinik Kesihatan Kota Putera dan Klinik Kesihatan Paya Datu di Lobi Hospital Dungun, semalam.
Menurutnya, sejak 16 Ogos hingga 22 Ogos lalu, sebanyak 1.8 juta orang pengembara telah disaring suhu di pintu-pintu masuk negara sebagai langkah pencegahan penularan wabak itu.
Selain itu, katanya sebagai persediaan, sebanyak 13 makmal di seluruh negara mampu menjalankan ujian pengesanan wabak berkenaan.
Dalam masa sama, Malaysia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam aspek perkongsian maklumat dan perolehan vaksin serta ubat antiviral.
Jelasnya, meskipun tiada kes baharu mpox direkodkan sejak November 2023, namun rakyat diingatkan supaya tidak terlalu selesa dan sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman wabak tersebut, termasuk segera mendapatkan pemeriksaan sekiranya bergejala.
Sebelum ini, WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun berikutan wabak jangkitan virus tersebut di Republik Demokratik Congo yang telah merebak ke negara jiran.
BACA JUGA Port Dickson banjir bukan kerana masalah perparitan