Kalah besar dibelasah JDT tapi Selangor pula sohor kini
Mengalami kekalahan besar 6-1 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, Selangor muncul jadi bualan hingga sohor kini di platform X pagi ini.
Lebih 15,800 ciapan daripada orang ramai memperkatakan tentang Selangor dengan kebanyakannya menyebut tentang malam ‘ngeri’ negeri yang juga digelar Red Giants itu.
Antaranya, pengguna X, @jllmisai yang dilihat penyokong Red Giants apabila cuba ‘menyejukkan’ hati dengan membandingkan keputusan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 baru-baru ini.
“Biar kalah final FA, yang penting Selangor masih mendahului Johor di SUKMA,” ciapnya.
Berlabuhnya SUKMA malam tadi menyaksikan Selangor di tangga ketiga dengan merangkul 177 pingat iaitu 55 emas, 64 perak dan 58 gangsa.
Sebaliknya, Johor berada di kedudukan keenam dengan membawa pulang 132 pingat iaitu 35 emas, 42 perak dan 55 gangsa.
“Kita 55 (pingat emas) bukan 35,” tulis @PejuangPH diikuti emoji ketawa.
Terdapat juga penyokong Selangor FC yang tetap setia Bersama pasukan yang sebelum ini menewaskan Pilihan Singapura 2-1.
“Tetaplah Selangor sampai mati. Ikhlas dari orang Johor yang sokong Selangor,” tulis @nuyulhuda pula.
Tidak kurang juga yang menyindir kekalahan skuad Selangor kendalian Nidzam Jamil itu.
“Selangor ni satu Malaysia dah bagi sokongan pun kalah. Tumpu Mobile Legend je lah,” perli @IanZainal.
BACA JUGA Tiga kali keabsahan PM Anwar teruji dan terbukti, ‘move on’ lah