Port Dickson banjir bukan kerana masalah perparitan

Kejadian banjir di kebanyakan kawasan Port Dickson hingga semalam bukan disebabkan masalah perparitan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, fenomena air pasang besar berserta hujan lebat selama beberapa jam, dipercayai punca kejadian itu.

Beliau berkata, permasalahan itu perlu diberi perhatian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri serta pusat supaya tidak berulang pada masa depan.

“Kita berharap dapat mencari punca sebenar. Ia berlaku di seluruh pantai.

“Kejadian itu bukan disebabkan masalah perparitan. Apabila air tidak boleh keluar ke laut yang lebih tinggi daripada darat, jadi air bertakung.

“Darat rendah menyebabkan air laut masuk dan tidak boleh keluar sehingga berlaku banjir di kawasan rendah ketika air pasang besar yang dijangka selama beberapa hari hingga semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Khatam Hafaz Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Kali Ke-13 bagi Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), di Gemencheh, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson, Mohd Azri Abu Hassan, memaklumkan bahawa 111 mangsa daripada 37 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air sejak semalam.

BACA JUGA PRK Mahkota: Ini sebab mengapa Ahmad Maslan harap jentera BN bergerak lebih aktif